Powered by Blogger.
Waktu-Waktu Yang Mustajab Untuk Berdoa

Terdapat 22 waktu dimakbulkan do’a:-


1.Berdo’a sewaktu hujan turun.

“Berdo’alah pada waktu mustajab do’a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun” (Hadis Riwayat Abu Daud).

2.Ketika hendak bersolat berdasarkan hadis diatas.

3.Selesai membaca al-Fatihah dalam solat.

4.Selepas mengucapkan ‘Amin’ apabila selesai membaca surah al-Fatihah.



“Apabila imam mengatakan ‘Amin’, maka ucapkanlah ‘Amin’. Sesiapa yang mengucapkan ‘Amin’ bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



5.Pada waktu tengah malam, terutama sepertiga malam yang terakhir.



“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



6.Waktu di antara azan dan iqamah.



“Tidaklah ditolak do’a di antara azan dan iqamah.” (Hadis Riwayat Tirmizi).


7.Ketika sujud dalam solat.



“Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdo’a.”
(Hadis Riwayat Muslim).



8.Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir.


9.Selesai solat fardu.

“Ditanya kepada Rasulullah s.a.w., ‘Do’a manakah yang didengar (Allah)’ Sabda baginda, “Do’a itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu.” (Hadis Riwayat Tirmizi).



10.Sepanjang waktu berpuasa.



Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Tiga bentuk do’a yang dimustajabkan Allah; do’a ibu bapa terhadap anak, do’a orang yang berpuasa dan do’a orang yang bermusafir.” (Hadis Riwayat Baihaqi)



11.Malam al-Qadar berlaku pada bulan Ramadhan.




12.Ketika khatam 30 juz al-Qur’an.



13.Sepanjang hari Jumaat itu, dengan harapan bersua dengan waktu mustajab do’a.



Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya”. (Hadis Riwayat Bukhari).



14.Sepanjang perjalanan semasa bermusafir.



“Tiga bentuk do’a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; do’a orang yang teraniaya, do’a orang yang bermusafir dan do’a ibu bapa terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).



15.Pada hari ‘Arafah iaitu 9 Zulhijjah.



Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sebaik-baik do’a adalah pada hari ‘Arafah, dan sebaik-baik do’a yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : ‘Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’. (Hadis Riwayat Tirmizi)





16.Ketika berjihad dan sewaktu melaksanakan ibadah haji atau umrah.



“Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdo’a kepada Allah lalu Allah terimanya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)



17.Ketika iman meningkat kerana berbuat taat.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “…dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Kuberikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Kulindungi.”

18.Waktu menerima ujian.

“Atau siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita apabila ia berdo’a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati nikmat Allah itu (Surah al-Naml ayat 62)




19.Ketika berperang kerana Allah.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Dua jenis do’a yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; do’a sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

20.Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.

Ummu Salamah r.ha. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

21.Selepas saat kematian seseorang.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, “Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata.” lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Janganlah kalian berdo’a untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendo’akan untuk kalian.” Baginda kemudiannya mendo’akan untuk Abu Salamah r.a”.



22. Ketika ayam berkokok.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat.” (Hadis Riwayat Bukhari) Sahabat yang dimuliakan,