Powered by Blogger.
Tangisan 12 Rabiul Awal



Rasulullah S.A.W mulai sakit

Rasulullah S.A.W mulai gering. Baginda bertanya kepada isteri-isterinya: "Giliranku esok di mana? Di mana aku esok?"

Isteri-isteri yang penuh kasih sayang memberikan pilihan kepada suami yang tercinta, untuk memlih di mana saja baginda ingin berada. Rasulullah S.A.W memilih rumah si pipi merah, Aisyah binti Abu Bakar R.A. Rasulullah S.A.W menghabiskan sisa-sisa hujung kehidupannya di rumah Aisyah R.A.

Di rumahnya, Aisyah R.A membacakan surahal-Falaq dan an-Nas serta doa-doa yang dihafalnya, sambil meniupkan ke seluruh tubuh baginda S.A.W. Begitu kasihnya Aisyah R.A kepada Rasulullah S.A.W.

Wasiat baginda S.A.W
Sayangnya Nabi S.A.W kepada umatnya. Di saat akhir kehidupannya, lima hari sebelum nyawanya diambil, Nabi S.A.W meninggalkan pesanan yang mungkin dilupakan oleh ramai umatnya di zaman kini. Pesanan baginda S.A.W berbunyi:

"Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid". Baginda S.A.W meneruskan nasihatnya: "Jangan kalian jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah".

Empat Hari Sebelum Saatnya Tiba
Baginda S.A.W tetap mengimami solat berjemaah sehinggalah solat maghrib pada hari keempat sebelum ajalnya tiba. Menjelang Isya', sakit baginda S.A.W semakin mencengkam. Sakitnya itu tetap tidak menghalang Rasulullah S.A.W daripada mengambil berat tentang solat Jemaah umatnya. Baginda S.A.W berkata:

"Adakah semua orang telah mendirikan solat?"

Jawab para sahabat: "Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu."

Baginda S.A,W berkata: "Sediakan bekas air untuk ku." Lalu para sahabat melakukannya, Nabi S.A.W cuba menyegarkan dirinya dengan air tersebut. Baginda S.A.W cuba bangun, tetapi tidak mampu. Sakit masih mencengkamnya. Baginda S.A.W jatuh pengsan.

Nabi S.A.W terjaga, lalu bertanya:

"Adakah semua orang telah mendirikan solat?"

Para sahabat menjawab: "Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu."

Baginda S.A.W menyegarkan lagi dirinya dengan air, tetapi masih tidak terdaya. Baginda bertanya lagi berulang kali:

"Adakah semua orang telah mendirikan solat?"

Sahabat R.A yang ada memberikan jawapan yang sama: "Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu."

Berulang kali soalan itu ditanya oleh nabi S.A.W. Baginda S.A.W terlalu gering, tidak mampu untuk mengimami solat, walau sudah berulang kali baginda S.A.W berusaha menyegarkan badannya. Akhirnya, Nabi S.A.W menyuruh Abu Bakar R.A mengimami solat menggantikan baginda S.A.W. Abu Bakar R.A memikul amanah itu. Semenjak hari itu, dia telah mengimami sebanyak tujuh belas kali solat fardhu.

Senyuman Subuh Terakhir

Umat Islam sedang mendirikan solat Subuh bersama Abu Bakar R.A. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W menyingkap tabir di bilik Aisyah R.A lalu memandang ke arah mereka. Baginda tersenyum dan tertawa.

Abu Bakar R.A dengan penuh hormat mengundurkan dirinya kerana menyangka Rasulullah S.A.W ingin bersolat bersama mereka.

Kerana terlalu gembira, para sahabat sehingga mahu berhenti solat ketika itu. Tetapi Rasulullah S.A.W memberikan isyarat agar solat diteruskan. Kemudian baginda S.A.W masuk semula ke dalam biliknya, dan menutup tirainya.

Tangisan dan ketawa Fatimah R.A

Pagi itu, Nabi S.A.W membisikkan sesuatu di telinga Fatimah R.A. Fatimah menangis mendengarnya. Kemudian Nabi S.A.W memanggil puterinya sekali lagi, lalu berbisik. Kali ini Fatimah ketawa keriangan.

Aisyah R.A dan isteri yang lain kehairanan lalu bertanya kepada Fatimah R.A. Dia menjawab:

"Rasulullah S.A.W membisikkan kepada ku bahawa baginda akan wafat dengan sakit yang dihadapinya, lantas aku pun menangis. Kemudian baginda S.A.W membisikkan kepada ku bahawa akulah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepasnya, aku pun ketawa."
Fatimah R.A puteri Rasulullah S.A.W berasa kasihan kepada ayahnya yang kesakitan, lalu dia berkata kepada ayahnya:

"Alangkah deritanya ayah."

Nabi S.A.W menjawab: "Selepas ini tiada lagi penderitaan ke atas ayah mu."

Baginda S.A.W meninggalkan nasihat buat umatnya: "Jagalah solat, jagalah solat, dan hamba-hamba yang dimiliki."

Di atas pangkuan Aisyah R.A

Nabi S.A.W berada dalam pelukan isteri tercinta, Aisyah R.A. Saudara lelaki Aisyah R.A, Abdul Rahman bin Abu Bakar muncul sambil membawa sebatang kayu sugi.

Rasulullah S.A.W memandang ke arah Abdul Rahman. Si isteri tercinta memahami isi hati suaminya. Aisyah R.A tahu Nabi S.A.W ingin kan kayu sugi tersebut.

Aisyah R.A bersuara:

"Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?". Baginda S.A.W menganggukkan kepala setuju.

Aisyah R.A mengambil kayu sugi, lalu menghulurkannya kepada Rasulullah S.A.W. Aisyah R.A menyedari kayu sugi itu terlalu keras, lalu dia mengambilnya kembali.

Dia bertanya lagi:

“Mahukah jika aku lembutkannya untuk mu?â€. Baginda Sallallahu ‘alaihi wassalam mengangguk tanda bersetuju.

Aisyah R.A melembutkan kayu sugi itu dengan menggigit-gigit hujungnya. Lalu Aisyah R.A memggosokkan gigi Rasulullah S.A.W dengan kayu tersebut.
Nabi S.A.W wafat atas pangkuan Aisyah R.A, dengan bersatunya air liur Aisyah R.A dan Rasulullah S.A.W.

Akhirnya

Baginda S.A.W berasa sakit. Baginda S.A.W mencelup tangannya di dalam air, kemudian menyapu mukanya, lalu berkata: "Tidak ada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya pada kematian itu ada kesakitan."

Selesai sahaja bersugi, baginda S.A.W mengangkat tangan atau jarinya ke langit, lalu menyebut: "Bersama orang-orang yang engkau berikan nikmat kepada mereka, daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhadaâ serta solihin. Ya Allah, ampunilah diri ku, rahmatilah diri ku. Temukanlah aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya Allah Teman Yang Tertinggi."

Tangisan Para Sahabat

Anas bin Malik R.A berkata: "Tidak pernah aku melihat hari yang paling baik dan berseri-seri melainkan hari Rasulullah S.A.W sampai kepada kami, dan tidak pernah aku melihat hari yang paling buruk dan gelap melainkan pada hari kewafatan Nabi S.A.W."

Berita kematian nabi S.A.W tersebar, tangisan tidak tertahan lagi. Air mata sahabat bercucuran.

Fatima R.A, puteri Rasulullah S.A.W berkata: "Duhai ayahanda kesayanganku, yang telah menyahut panggilan Tuhannya, duhai ayahanda kesayanganku, syurga Firdaus tempat kembalinya, duhai ayahanda kesayanganku, kepada Jibril kami sampaikan berita kewafatannya."

Umar R.A hilang pertimbangan, kecintaannya kepada Nabi S.A.W membuatkan dia seakan tidak sedar apa yang dia katakan. Umar R.A berteriak dengan suara yang lantang:

"Ada orang-orang munafiq yang mendakwa Rasulullah S.A.W telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W tidak mati, tetapi baginda S.A.W pergi bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian dia kembali semula kepada kaumnya setelah orang berkata dia telah mati. Demi Allah! Rasulullah S.A.W akan kembali dan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan baginda S.A.W telah mati!".

Abu Bakar R.A bergegas pulang tatkala mendengar berita kematian Rasulullah S.A.W. Dibukanya kain yang menutupi Nabi S.A.W, dipeluk dan diciumnya Nabi S.A.W.

Abu Bakar menenangkan umat.

Umar R.A masih lagi mengungkapkan kata-katanya tadi. Abu Bakar R.A berkata kepada Umar R.A: "Duduklah Umar!". Tetapi Umar R.A enggan untuk mendengar arahan Abu Bakar R.A.

Abu Bakar R.A terus berkata: "Sesiapa di kalangan kamu yang menyembah Muhammad S.A.W, sesungguhnya Muhammad S.A.W telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah Hidup dan tidak mati." Beliau terus membaca surah Ali Imran, ayat 144:

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Para sahabat terpaku. Mereka tersedar daripada lamunan mereka. Mereka mulai sedar hakikat Nabi S.A.W telah meninggalkan mereka. Kata-kata Abu Bakar R.A menyentap jiwa mereka yang sedang kesedihan, mengambalikan mereka kepada kewarasan.

Demi Allah! Seakan-akan manusia tidak mengetahui bahawa ayat ini pernah diturunkan sehinggalah Abu Bakar membacanya. Lalu semua orang mengambil ayat itu daripada Abu Bakar. Lantas semua orang yang mendengar ayat itu dibaca, turut membacakannya, demikian kata Ibnu Abbas R.A.

Umar R.A yang tadi terlalu sedih hingga mengeluarkan kata-kata yang yang menggoncang akidah umat Islam, tersedar daripada kesilapannya. Ayat itu menyentap jiwanya kembali, menenangkan kembali hatinya yang sedang berkecamuk:

"Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi apabila mendengar Abu Bakar membacakannya. Maka yakinlah aku, Nabi S.A.W telah wafat.

[Ringkasan daripada ar-Rahiq al-Makhtum susunan Shaikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri. Edisi terjemahan bertajuk Sirah Nabawiyyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)]
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Akhirnya 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah, hari Isnin, perginya Rasulullah S.A.W meninggalkan umatnya.

Mana mungkin umatnya tidak menangis tatkala baginda S.A.W meninggal dunia, sedangkan ketika hidupnya baginda S.A.W menempuh 1001 ujian dan seksaan hanya kerana menyampaikan Islam kepada umatnya.

Bagaimana Nabi S.A.W yang sebelumnya dipercayai oleh semua penduduk Mekah, akhirnya ditolak dan dicerca tatkala berdiri di Bukit Safa, menyeru kaumnya kembali kepada Allah.

Bagaimana mungkin kita lupa, ketika nabi S.A.W sedang sujud di Masjidil Haram, lalu kaum musyrikin meletakkan najis dan kotoran di atas batang tubuh nabi S.A.W. Lalu munculnya Fatimah R.A menangis sambil membersihkan tubuh Rasulullah S.A.W.

Bagaimana kita boleh lupa, Nabi S.A.W ketika pertama kali mengajak penduduk Madinah kepada Islam, baginda S.A.W dibalas dengan lontaran batu. Setiap penjuru jalan yang baginda S.A.W lalui. Kanak-kanak, hamba dan kaum wanita menanti sambil melemparkan batu-batu ke arah nabi S.A.W. Lalu malaikat menawarkan tawaran untuk memusnahkan mereka yang menyakiti Nabi S.A.W, tetapi Nabi S.A.W menolak tawaran itu, kerana masih yakin akan datang masanya generasi kemudian menerima dakwah beliau.

Bagaimana kita boleh lupa ?? :'(

0 comments:

Post a Comment